Keutamaan kami kestabilan, bukan jawatan – PAS Johor
JOHOR BAHRU – PAS Johor sedia menyokong Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri sekiranya tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan, langkah itu diambil demi menjamin kestabilan politik dan bukannya untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.
Beliau menambah, pendirian itu selaras seruan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya sebuah pentadbiran yang stabil dapat dibentuk jika keputusan PRN menghasilkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
“(Sehubungan itu) penyokong PAS diarah memberi sokongan kepada calon BN di kerusi tidak ditandingi PAS atau Perikatan Nasional (PN), demi memastikan kepimpinan negeri terus stabil.
“Arahan itu bukan bertujuan mendapatkan jawatan atau ganjaran politik, sebaliknya bagi memastikan Johor terus stabil dan ditadbir secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahfodz dalam kenyataan sama turut menegur pemimpin UMNO Johor supaya tidak memberi reaksi secara angkuh terhadap apa yang disifatkannya sebagai tawaran kerjasama ikhlas daripada PAS.
“Jika BN gagal memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, PAS dan PN bersedia mengambil pendekatan matang demi kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat serta kesinambungan kepimpinan Johor.
“Kesediaan kami bekerjasama tidak harus dianggap sebagai tanda kelemahan. PAS tidak meminta menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, PAS akan terus mengutamakan kepentingan Johor mengatasi pertimbangan politik kepartian.
“Pendirian kami jelas. Kestabilan Johor, kebajikan rakyat dan masa depan negeri mesti didahulukan daripada ego politik serta kepentingan sempit parti.
“Itulah semangat di sebalik kempen ‘Jom Jaga Johor’,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















