BERITA SEMASAPMX

Kerajaan tanggung liabiliti 1MDB RM51.4 bilion, berjaya pulih semula RM31.3 bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah dan masih perlu menanggung liabiliti keseluruhan berjumlah RM51.4 bilion susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan RM42.5 bilion telah dibayar setakat 30 Jun lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi pembayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain berkaitan 1MDB.

Menurut beliau, kerajaan turut masih menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin kerajaan bernilai RM8.9 bilion, meliputi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.

“Ini bermakna, secara keseluruhan tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen mengenai jumlah hutang 1MDB yang ditanggung kerajaan, pembayaran yang telah dibuat serta dana dan aset yang berjaya dipulihkan.

Anwar berkata, sehingga kini kerajaan berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion.

“Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih terpaksa menanggung baki liabiliti sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB melalui pelbagai tindakan undang-undang di dalam dan luar negara.

Antaranya termasuk pendakwaan jenayah dan saman sivil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, bagi kes 1MDB, Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.

Kerajaan turut memfailkan saman sivil terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan semula AS$380 juta (RM1.6 bilion) yang didakwa digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barang kemas menggunakan dana 1MDB.

Selain itu, tindakan jenayah dan sivil juga diteruskan terhadap Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa dalang utama penyelewengan 1MDB membabitkan tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion (RM15.42 bilion).

Anwar berkata, saman turut difailkan terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahony yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Menurutnya, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland telah menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua individu itu serta mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.13 bilion) kepada 1MDB.

Tambah beliau, kerajaan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa institusi kewangan antarabangsa yang didakwa terbabit dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

Beliau berkata, skandal 1MDB bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan, malah menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa apabila mencetuskan siasatan rentas sempadan serta menimbulkan persepsi negatif terhadap tadbir urus dan integriti institusi negara.

“Atas sebab itu, Kerajaan MADANI berusaha sedaya upaya memperkukuh tatakelola baik pentadbiran negara bagi memulih semula keyakinan dunia terhadap Malaysia.

“Contohnya, kita telah berjaya mencipta prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah serta kedudukan indeks daya saing dunia yang bertambah baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button