JIM tumpas dua sindiket transit PATI, 15 individu diberkas
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya membongkar dua sindiket yang menjadikan kondominium mewah dan terminal pengangkutan awam sebagai lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dua operasi khas di sekitar ibu negara dan Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 15 individu berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi berasingan yang menyasarkan rangkaian penyeludupan migran.
Menurutnya, dalam operasi pertama pada pukul 12.30 tengah malam di Cap Square Centre, sepasukan pegawai JIM menahan 10 warga Bangladesh, termasuk dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan, manakala dua wanita Bangladesh didapati pernah disenarai hitam oleh JIM tetapi dipercayai memasuki semula negara ini melalui laluan tidak diwartakan.
“Selebihnya pula gagal mengemukakan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita tiga pasport Bangladesh milik individu lain serta wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket tersebut.
Siasatan mendapati unit kondominium berkenaan dijadikan rumah transit sementara bagi menempatkan warga asing yang memasuki negara ini secara haram sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.
Menurut Zakaria, setiap migran dipercayai dikenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 bagi mendapatkan perlindungan sementara, dengan sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu.
Dalam operasi berasingan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak, JIM menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penghantar atau transporter bersama empat lelaki warga India.
Katanya, siasatan mendapati seorang daripada warga India itu pernah disenarai hitam oleh JIM namun dipercayai memasuki negara ini semula melalui laluan haram, manakala tiga lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Turut disita ialah dua telefon bimbit, empat pasport India dan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran.
“Sindiket ini dipercayai membawa masuk warga asing, khususnya dari India, melalui laluan tidak diwartakan sebelum mengambil mereka di terminal bas dan menghantar ke lokasi yang ditetapkan dengan bayaran sekitar RM6,000 bagi setiap individu,” katanya.
Beliau berkata, dua lelaki Bangladesh yang dipercayai menjaga premis disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penghantar disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















