BERITA SEMASALUAR NEGARA

Letupan bom gegar Damsyik berhampiran hotel penginapan Macron

DAMSYIK – Beberapa letupan bom menggegarkan ibu negara Syria hari ini berhampiran Hotel Four Seasons, lokasi penginapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Menurut sumber keselamatan, sekurang-kurangnya dua alat letupan meledak berhampiran hotel berkenaan, menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan pusat bandar.

Bagaimanapun, Macron dilaporkan tidak berada di hotel ketika kejadian kerana menghadiri pertemuan dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa di Istana Presiden.

Pejabat Presiden Perancis mengesahkan Macron selamat dan lawatan rasminya diteruskan seperti yang dijadualkan.

Rakaman yang tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan terbakar, manakala orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri sejurus letupan berlaku.

Pasukan keselamatan kemudian menutup beberapa jalan utama dan memperketat kawalan di sekitar lokasi.

Setakat ini, pihak berkuasa Syria belum mengesahkan sebarang kematian atau kecederaan, selain tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas satu letupan bom di sebuah kafe berhampiran Istana Kehakiman di Damsyik yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, sekali gus mencerminkan keadaan keselamatan di Syria yang masih rapuh.

Lawatan Macron merupakan yang pertama oleh seorang pemimpin utama Kesatuan Eropah (EU) ke Syria sejak kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada 2024, dengan fokus kepada usaha pembinaan semula negara serta memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button