BERITA SEMASA

Ketua Polis Johor sahkan siasatan kes Puad Zarkashi masih berjalan

JOHOR BAHRU – Polis masih meneliti beberapa perkara sebelum melengkapkan kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan institusi diraja dengan pembubaran DUN dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya belum boleh mengulas lanjut mengenai perkembangan siasatan kerana masih terdapat perkara yang perlu diperhalusi.

“Setakat ini masih dalam siasatan kita. Saya tak boleh mengulas sebab banyak perkara yang masih lagi perlu diteliti untuk kita melengkapkan kertas siasatan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Setakat 25 Jun lalu, polis menerima 153 laporan dari seluruh negara membabitkan Mohd Puad yang juga penyandang kerusi DUN Rengit berhubung kenyataan yang dibuatnya.

Kenyataan berkenaan dipercayai mencetuskan laporan polis selepas beliau mengaitkan institusi diraja dengan pembubaran DUN Johor serta pemilihan calon bagi PRN Johor ke-16.

Siasatan terhadap Mohd Puad dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabtu lalu, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbit miliknya dirampas polis bagi membantu siasatan lanjut dan dipulangkan semula minggu lalu, selain beliau turut dipanggil untuk memberikan keterangan.

Terdahulu pada 25 Jun lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mengumumkan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta dengan mendakwa UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad meninggalkan parti itu adalah kerana anak lelakinya tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button