Kebakaran hutan di selatan Perancis paksa lebih 10,000 penduduk berpindah
PARIS – Lebih 10,000 penduduk diarahkan berpindah selepas kebakaran hutan besar berlaku di selatan Perancis ketika negara itu berdepan gelombang haba awal musim panas yang melanda sebahagian besar Eropah.
Kebakaran yang berlaku berhampiran Trevillach, dekat Perpignan di sempadan Sepanyol, setakat ini memusnahkan sekurang-kurangnya 4,600 hektar kawasan hutan.
Pihak berkuasa memberi amaran angin kencang boleh menyebabkan api terus merebak.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata, keadaan semakin memburuk dan operasi memadam kebakaran diteruskan dengan penuh cabaran.
“Keadaan kembali merosot pagi ini. Hari ini pertempuran menentang kebakaran bermula semula,” katanya kepada stesen televisyen TF1.
Seorang penduduk Trevillach, Patrice berkata, api merebak terlalu pantas sehingga menghampiri kira-kira 300 meter dari kawasan perumahan.
“Kami terkejut melihat kepantasan api merebak. Keadaan benar-benar mencetuskan panik,” katanya.
Penganjur perlumbaan berbasikal Tour de France turut meminta orang ramai mengelakkan kawasan 40 kilometer terakhir laluan perlumbaan bagi memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan Kesatuan Eropah akan menghantar empat pesawat pemadam kebakaran bagi membantu operasi di Perancis.
Kebakaran turut menjejaskan Sepanyol, dengan lebih 2,200 hektar kawasan rizab semula jadi Les Gavarres musnah, manakala kira-kira 500 penduduk dipindahkan dari wilayah Castellon selepas api memasuki Taman Negara Sierra de Espadan.
Suhu di barat daya Perancis dijangka kembali mencecah 40 darjah Celsius minggu ini sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terus merebak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















