PM ucap tahniah kejayaan 17 pelajar Malaysia rangkul 22 pingat di KEO 2026
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 17 pelajar Malaysia yang mengharumkan nama negara dalam pertandingan Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau.
Kesemua mereka berjaya merangkul sembilan anugerah keseluruhan dan membawa pulang 22 pingat pada acara yang berakhir semalam.
“Tahniah anak-anak Malaysia yang catat keputusan cemerlang di bumi Macau. Tingkatkan usaha, moga catat lebih banyak kejayaan pada masa hadapan. Insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Penyelaras Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Macau, Aldah Misran berkata, secara keseluruhan, mereka berjaya membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.
“Kontinjen Malaysia terdiri daripada empat pelajar Kolej PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz, dua pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, tiga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (2) Bukit Nanas serta masing-masing seorang pelajar SMK Convent Teluk Intan, SK USJ 12, SK Seri Hartamas dan SK Convent Sentul 1,” katanya.
Pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group serta diselaraskan di Malaysia oleh MYSO itu menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam Olympiad Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.
KEO ialah platform pertandingan antarabangsa yang dibangunkan pakar pendidikan Australia merangkumi empat disiplin iaitu bahasa Inggeris yang menguji bacaan, ejaan dan penulisan peserta, Matematik (penaakulan logik), Sains (pemerhatian, reka bentuk eksperimen dan tafsiran data) serta Seni (karya seni dan pernyataan artis).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















