PM dijangka rasmi Hari Peneroka FELDA 2026, lebih 50 aktiviti menanti pengunjung
JENGKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Peneroka FELDA 2026 serta Sambutan 70 Tahun FELDA yang akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), di sini pada 7 Julai ini.
Kehadiran Perdana Menteri itu bakal menjadi kemuncak kepada festival empat hari bermula esok hingga 7 Julai, yang menghimpunkan lebih 50 aktiviti merangkumi sukan, hiburan, makanan, teknologi, pendidikan, keusahawanan serta pembangunan komuniti.

Antara pengisian utama pada hari perasmian ialah penyampaian Anugerah Pengiktirafan FELDA, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) strategik serta beberapa pengumuman penting berkaitan masa depan FELDA.
Bertemakan ‘Segalanya FELDA, Semarak Makmur Bersama’, sambutan tahun ini bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-70 FELDA, malah mengetengahkan transformasi organisasi itu sebagai pemangkin pembangunan luar bandar yang lebih progresif dan inklusif.
Menurut penganjur, festival ini direka untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya warga peneroka FELDA.
“Kanak-kanak boleh menikmati aktiviti interaktif, belia pula berpeluang meneroka teknologi seperti robotik, manakala ibu bapa disajikan dengan pameran agensi kerajaan, forum ilmu serta jualan usahawan.” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang empat hari, kawasan STAR Jengka akan menampilkan reruai agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pendidikan dan usahawan FELDA yang mempamerkan inovasi dalam pertanian, teknologi dan pembangunan komuniti.
Bagi peminat sukan, pelbagai kejohanan diadakan termasuk Rising Star Cup, Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Terbuka FELDA 2026, Pertandingan Basikal Teroka 100, Liga Sukan Belia serta FELDA Glow Night Run WAQAF x MBFM.
Turut menjadi tarikan ialah FELDA RoboExperience (FRX) yang menampilkan pertandingan robotik seperti Pick & Place Robo Drive Challenge dan Robot Build Challenge, selain sesi perkongsian teknologi termasuk AI, keselamatan siber dan tenaga hijau di Mini Stage.

Program pembangunan ilmu turut disediakan menerusi siri Masterclass anjuran Yayasan FELDA, meliputi TVET, kecerdasan buatan, freelancing dan pengurusan Islam.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai juadah di Warung FGV serta menyertai aktiviti pentas seperti Spin & Win, cabutan hadiah dan persembahan hiburan.
Festival itu turut menekankan kelestarian melalui pameran biodiversiti, mekanisasi pertanian dan inovasi sawit termasuk pelancaran Biodiesel B100 (PMX).
Dengan gabungan elemen sukan, pendidikan, teknologi dan kekeluargaan, Hari Peneroka FELDA 2026 dijangka menjadi antara festival komuniti terbesar di negara ini. Masuk adalah percuma.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















