Kantin Sekolah ABIM Sungai Ramal diarah tutup 14 hari, dakwaan keracunan makanan tular di media sosial
KAJANG – Kantin sekolah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sungai Ramal, di sini diarah tutup selama 14 hari oleh pihak berkuasa kesihatan susulan dakwaan berlakunya kes keracunan makanan membabitkan sejumlah murid sekolah berkenaan.
Perkara itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads menggunakan nama akaun @aaira_fififufu memuat naik hantaran tersebut.
“Sekolah ABIM Sungai Ramal diarah tutup 14 hari. Ramai murid-murid keracunan makanan. Muntah-muntah, pening, sakit perut. Banyak persoalan dibiarkan menjadi persoalan oleh pihak sekolahnya,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan gambar Notis Perintah Tutup daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor selain gambar pegawai kesihatan membuat pemeriksaan dan seorang kanak-kanak dipercayai sedang muntah di luar sebuah kereta.
“Dapur Kantin Sekolah Seri dan Semi ABIM diperintahkan tutup mulai 30 Jun hingga 14 Julai 2026 atas alasan berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai,” menurut Notis Perintah Tutup tersebut.
Bagaimanapun, beberapa netizen tampil mempertahankan tindakan pihak sekolah dengan menyatakan bahawa pihak pentadbiran telah memberikan maklumat dan perkembangan terkini kepada ibu bapa sejak hari kejadian.
Seorang pengguna, @neysahz mendakwa, pihak sekolah telah mengeluarkan pelbagai makluman dan kemas kini kepada ibu bapa melalui saluran rasmi, selain memaklumkan bahawa pihak kesihatan telah menjalankan pemeriksaan serta siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Saya sendiri ada anak bersekolah di sini dan sentiasa mengikuti perkembangan yang dikongsikan pihak sekolah,” katanya dalam ruangan komen.
Seorang lagi pengguna, @zulnasrikhalid pula berpendapat tindakan sewajarnya telah diambil oleh pihak berkuasa dan mempersoalkan tujuan isu tersebut terus ditularkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



















