Sri Semantan lancar cawangan ke-17 di Kemaman, sasar 30 cawangan menjelang akhir 2026
KUALA LUMPUR – Kedai Emas Sri Semantan terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas menerusi pembukaan cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu, sekali gus mengumumkan sasaran untuk memiliki 30 cawangan di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat yang disusun secara strategik berdasarkan permintaan pelanggan di setiap lokasi.
Menurut beliau, syarikat turut merancang membuka kiosk di pusat beli-belah selepas sasaran 30 cawangan berjaya dicapai.
“Kami membuka cawangan berdasarkan permintaan pelanggan, bukannya sekadar memilih lokasi. Insya-Allah, kawasan yang menunjukkan potensi dan permintaan tinggi akan diberikan keutamaan untuk pembukaan cawangan atau kiosk baharu,” katanya pada majlis perasmian Cawangan Sri Semantan Ke-17, semalam.
Beliau berkata, sasaran jangka panjang syarikat adalah memiliki sebanyak 222 cawangan termasuk kiosk dalam tempoh 10 tahun selari dengan jumlah kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Itulah aspirasi besar kami. Namun, perkembangan itu bergantung kepada prestasi perniagaan. Alhamdulillah, sambutan masyarakat terhadap Sri Semantan amat menggalakkan sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan syarikat, Mohamad Hafizal berkata, kejayaan Sri Semantan hari ini tidak diperoleh dengan mudah sebaliknya dibina hasil ketabahan menghadapi pelbagai cabaran sejak penubuhannya.
Katanya, syarikat bukan sekadar menjalankan perniagaan jual beli emas, malah membawa misi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan emas sebagai aset bernilai yang mampu menjadi simpanan, perlindungan kewangan serta penyelamat ketika berdepan kesukaran.
“Kami mahu membantu meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia, khususnya Bumiputera melalui pemilikan dan perdagangan emas yang berilmu serta bertanggungjawab.
“Matlamat kami bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak sebaliknya bersama-sama memajukan industri emas negara dan berkongsi ilmu serta pengalaman kepada masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, keunikan Sri Semantan bukan hanya terletak pada perkhidmatan jual beli emas, pembelian semula (buyback), trade-in dan penebusan surat pajak malah turut memberi penekanan kepada pendidikan pelanggan menerusi Sri Semantan Privilege Club (SSPC).
“Kami bukan sekadar menjual emas. Kami mendidik pelanggan supaya memahami bagaimana emas boleh difungsikan sebagai aset yang memberi manfaat kepada kehidupan dan kewangan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan pendidikan itu berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa emas bukan sekadar barang kemas malah aset yang boleh dimanfaatkan melalui pelbagai strategi kewangan.
Pada masa sama, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau fitnah yang tular di media sosial berhubung model perniagaan Sri Semantan, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi syarikat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, rakan niaga dan pelanggan yang terus memberikan sokongan sehingga Sri Semantan berkembang daripada sebuah kedai kecil kepada rangkaian perniagaan emas yang semakin dikenali di seluruh negara.
“Apabila seseorang memiliki emas dengan ilmu dan kefahaman yang betul dia bukan sekadar menyimpan nilai tetapi sedang membina ketenangan, keyakinan dan masa depan yang lebih baik untuk keluarganya.”Insya-Allah, kami berazam menjadikan Sri Semantan sebagai jenama emas preloved nombor satu di Malaysia serta sebuah platform yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















