BERITA SEMASA

Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 10 sen mulai esok

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bermula esok hingga 8 Julai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan itu susulan penyusutan purata harga pasaran petroleum antarabangsa, minggu lalu.

Harga baharu yang berkuat kuasa mulai esok menetapkan RON97 pada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi diturunkan kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47.

Diesel tanpa subsidi pula dijual pada harga RM3.97 seliter berbanding RM4.07 sebelum ini.

Menurut MOF, pengumuman harga bagi minggu ini dibuat lebih awal bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan Budi MADANI Diesel (Budi Diesel) yang bermula esok.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

“Harga pasaran petroleum antarabangsa terus menyederhana berbanding paras tertinggi yang dicatatkan semasa kemuncak krisis Asia Barat,” katanya.

Tambah MOF, perkembangan itu disokong tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah.

Bagaimanapun, kementerian berkata, pasaran petroleum global masih belum kembali stabil sepenuhnya kerana risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih wujud selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad.

Selain itu, pemulihan rantaian bekalan global juga dijangka mengambil masa.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah iaitu RON95 (Budi95) pada RM1.99 seliter, diesel Budi Diesel RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi RM2.15 seliter.

Katanya, pelaksanaan Budi Diesel mulai esok membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button