POLITIK

MUDA kecewa keputusan rayuan akhir Syed Saddiq ditangguh

PUTRAJAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menzahirkan rasa kecewa susulan penangguhan keputusan rayuan akhir membabitkan pengasas parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sepatutnya diputuskan hari ini.

Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, penangguhan tersebut amat mengecewakan memandangkan Syed Saddiq bersama ahli keluarga serta rakan-rakannya telah melalui proses perundangan yang panjang sejak lebih enam tahun lalu.

“Secara jujurnya saya memang sangat kecewa kerana perkara ini bukan sesuatu yang baru sahaja kita tunggu.

“Beliau (Syed Saddiq), keluarganya dan rakan-rakan telah melalui cabaran ini selama lebih enam tahun dan beliau sendiri telah menunggu lebih enam bulan untuk keputusan ini keluar,” katanya kepada pemberita di luar Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Baca juga : Hakim cuti sakit, keputusan rayuan akhir Syed Saddiq ditangguh 13 Julai

Pada masa sama, Amira berkata, beliau berharap keputusan yang dijadualkan semula pada 13 Julai depan akan memihak kepada Ahli Parlimen Muar berkenaan.

Beliau turut menegaskan MUDA akan terus memberikan sokongan dan kepercayaan penuh kepada Syed Saddiq sepanjang proses perundangan yang dihadapinya.

“MUDA kekal percaya kepadanya dan kami yakin bahawa keadilan akhirnya akan memihak kepada Syed Saddiq,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta kepada 13 Julai ini.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, prosiding pada Selasa tidak dapat diteruskan selepas seorang anggota panel, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari.

Keputusan pada 13 Julai itu akan menentukan sama ada Syed Saddiq, 33, kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman atas empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Jika rayuan pendakwaan ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini akan dikekalkan sekali gus mengekalkan pembebasan beliau, namun sekiranya rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman berdasarkan sabitan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button