UIAM perkukuh reputasi global, tersenarai kelompok 301-400 dunia dalam penarafan kemampanan
GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila berjaya disenaraikan dalam kelompok 301 hingga 400 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 pada penyertaan sulung universiti itu dalam penilaian berkenaan.
Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen UIAM dalam menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi aspek penyelidikan, pengajaran, jangkauan komuniti dan tadbir urus.
UIAM dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka mencatat pencapaian cemerlang apabila lima indikator SDG berjaya menempatkan universiti itu dalam kelompok 101 hingga 200 terbaik dunia, iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 14 (Hidupan di Dalam Air) serta SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan UIAM sebagai antara institusi pengajian tinggi yang memberi impak signifikan terhadap agenda kemampanan global, selaras dengan aspirasi universiti yang berteraskan ‘Epistemologi Tauhidik dan Kecemerlangan Ummah’.
Pencapaian tersebut melengkapkan lagi pengiktirafan antarabangsa yang diraih UIAM menerusi QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan baru-baru ini.
Dalam penarafan itu, UIAM mencatat kedudukan memberangsangkan bagi tiga bidang utama, iaitu Seni dan Kemanusiaan (401–450), Sains Sosial dan Pengurusan (451–500) serta Kejuruteraan dan Teknologi (501–550).
Pada peringkat disiplin, UIAM mencatat prestasi kukuh dalam beberapa bidang pengajian termasuk Teologi dan Pengajian Agama yang menduduki tangga ke-25 dunia.
Selain itu, bidang Perakaunan dan Kewangan, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris serta Undang-Undang masing-masing berada dalam kelompok 251 hingga 300 terbaik dunia, manakala Ekonomi dan Ekonometrik serta Farmasi dan Farmakologi berada dalam kelompok 301 hingga 350.
Bidang Pendidikan pula berada dalam kelompok 401 hingga 450 terbaik dunia, manakala Pengajian Perniagaan dan Pengurusan serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat masing-masing tersenarai dalam kelompok 451 hingga 500.
Dalam bidang kewangan Islam, UIAM turut mencipta kejayaan apabila Institut Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) meraih dua pengiktirafan pada Islamic Finance News (IFN) Awards 2026.
UIAM dinobatkan sebagai institusi pendidikan terbaik yang menawarkan kursus kewangan Islam, manakala IIiBF menerima anugerah firma penyelidikan kewangan Islam terbaik.
Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan kejayaan universiti dalam mengintegrasikan epistemologi tauhid dengan kecemerlangan akademik dan pembangunan ummah.
“Keberhasilan ini mencerminkan misi UIAM untuk mengintegrasikan epistemologi tauhid dengan kecemerlangan akademik dan kecemerlangan ummah, dengan mengasaskan ilmu kepada wahyu sambil terus menyumbang secara signifikan dalam bidang sains, sains sosial dan profesional.
“Kejayaan ini juga selari dengan usaha berterusan UIAM memperkukuh agenda kemampanan dan memperluas impak penyelidikannya. Universiti kekal komited melahirkan graduan serta khazanah ilmu yang berkhidmat kepada ummah global dan menzahirkan prinsip rahmatan lil alamin,” katanya.
Pencapaian terkini itu dilihat mengukuhkan lagi kedudukan UIAM sebagai antara universiti Islam terkemuka dunia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













