BERITA SEMASA

Tuanku Muhriz perkenan terima penzahiran Hassan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22

KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap bagi istiadat penzahiran kejadian Hassan Ab Hamid sebagai Datuk Sedia Raja, Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Dalam istiadat yang berlangsung pada pukul 2.50 petang itu, pesara guru berusia 67 tahun berkenaan menghadap Tuanku Muhriz bagi menzahirkan dirinya sebagai Undang Luak Rembau selepas dipilih mengikut adat oleh Luak Rembau.

Turut berkenan berangkat menyaksikan istiadat tersebut ialah Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasbi Wan Yusof serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan untuk memulakan majlis sebelum Hassan melafazkan sembah taat setianya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana istiadat penzahiran kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 dapat disempurnakan.

“Dengan penuh sukacita, beta berkenan menerima penzahiran kejadian Hassan Ab Hamid sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Rembau dengan gelaran Datuk Sedia Raja.

“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat. Ia hendaklah dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau,” titah baginda.

Baginda bertitah, sebarang perselisihan atau permasalahan perlu ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan Hassan agar sentiasa menjunjung taat setia kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dan penuh hormat dengan baginda serta institusi istana.

“Hubungan yang berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan muafakat merupakan asas penting dalam menjamin keluhuran adat, kedaulatan institusi raja serta kesejahteraan negeri.

“Beta juga menyeru agar seluruh rakyat beta di Luak Rembau, di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung terus berganding bahu bersama kepimpinan adat dalam memperkukuh pelaksanaan adat dan memelihara warisan yang diwariskan sejak turun-temurun,” titah baginda memetik laporan Sinar Online.

Baginda turut menyeru agar semangat persaudaraan dan hubungan harmoni sesama masyarakat terus dipelihara kerana kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada perpaduan, permuafakatan dan sikap saling menghormati.

Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Faudzinaim Badaruddin sebelum lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan.

Terdahulu, Hassan dan isterinya, Asmah Yaakob, diarak ke Istana Besar Seri Menanti bersama lebih 100 anggota rombongan sambil membawa barang-barang adat istiadat.

Pelantikan Hassan dibuat berdasarkan keputusan Datuk Adat Rembau melalui Buapak Delapan Kampung yang mengadakan dua kali istiadat kerapatan, dengan kedua-duanya memilih Kampung Tanjung sebagai benih calon Undang Luak Rembau Ke-22.

Hassan, yang dilahirkan pada 11 Januari 1959 di Rembau, berasal daripada suku Biduanda, Sedia Raja Kampung Tanjung, manakala isterinya berasal daripada suku Waris Biduanda, Lela Maharaja Kampung Gadong.

Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata, terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.

Pada 2024, Hassan dilantik sebagai Pesaka Dato’ Perba dan sebelum ini menyandang jawatan Pesaka Buapak Kampung Tanjung dengan gelaran Dato’ Kaya Maharaja sejak 1998.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button