Piala Dunia: Cape Verde lakar sejarah mara ke pusingan kalah mati, bakal cabar Argentina
HOUSTON – Pasukan kerdil dari benua Afrika, Cape Verde mencipta sejarah apabila berjaya mara ke pusingan kalah mati pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia FIFA 2026 selepas mengikat Arab Saudi tanpa jaringan.
Keputusan itu, ditambah dengan kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Uruguay, membolehkan pasukan yang menghuni ranking ke-67 dunia itu menamatkan saingan Kumpulan H di tangga kedua di belakang Sepanyol.
Selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan tanpa mengalami kekalahan, Cape Verde yang mempunyai populasi lebih 500,000 penduduk kini bakal berdepan juara bertahan, Argentina yang diketuai Lionel Messi dalam aksi pusingan kalah mati di Miami pada 3 Julai.
Suasana penuh emosi menyelubungi kem Cape Verde sejurus tamat perlawanan apabila para pemain menunggu keputusan perlawanan antara Sepanyol dan Uruguay sebelum mendapat pengesahan kemenangan Sepanyol menerusi telefon bimbit masing-masing, sekali gus mencetuskan sambutan penuh kegembiraan.
“Saya rasa seperti sedang bermimpi, sejujurnya,” kata pemain tengah Cape Verde, Deroy Duarte.
Kegembiraan itu turut dirasai di ibu negara Cape Verde, Praia apabila ribuan penyokong berjaga sehingga awal pagi untuk mengikuti perkembangan pasukan negara mereka.
Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista berkata, pasukannya sentiasa percaya mereka mampu melakar kejayaan tersebut.
“Kami sentiasa yakin bahawa kami mampu mencapai tahap ini. Kami mahu membuktikan kepada dunia bahawa walaupun kami sebuah negara kecil, kami akan terus berjuang untuk apa yang kami impikan.
“Bagi kami, tiada yang mustahil,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Sepanyol menamatkan saingan Kumpulan H dengan tujuh mata selepas turut seri tanpa jaringan dengan Cape Verde dalam aksi pembukaan kumpulan, manakala Uruguay dan Arab Saudi tersingkir selepas masing-masing hanya mengumpul dua mata.
Dalam pada itu, Sepanyol akan berdepan naib juara Kumpulan J, sama ada Algeria atau Austria pada pusingan seterusnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








