Sukarelawan hampir maut dalam SAR Jaslinda
KUALA LUMPUR – Pengorbanan pasukan penyelamat dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Perak, bukan sekadar mengharungi cabaran fizikal, malah ada antara mereka yang hampir kehilangan nyawa ketika menjalankan misi berkenaan.
Penyelaras Bersama Gerak Kerja SAR Tim Malim Gunung, Muzafar Mohamad berkata, operasi yang berlangsung selama beberapa hari di kawasan hutan dan berbukit itu penuh dengan risiko serta pelbagai cabaran yang menguji ketahanan semua anggota terlibat.

Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan pasukan penyelamat dan sukarelawan malim gunung wajar diberikan penghargaan kerana mereka sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menjejaki mangsa yang hilang.
Katanya, terdapat sukarelawan yang hampir terbunuh ketika melaksanakan tugasan pencarian berdasarkan perancangan yang diselaraskan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Untuk sahabat yang hampir terbunuh ketika melaksanakan misi pencarian berdasarkan perancangan di PKTK, saya tabik kepada tuan puan semua.
“Kami semua berkorban pada Hari Raya Aidiladha. Bukan sahaja agensi yang diarahkan bertugas, malah sukarelawan malim gunung turut mengorbankan masa bersama keluarga demi menyertai misi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kebanyakan sukarelawan menggunakan wang sendiri untuk menampung kos perjalanan dan keperluan operasi selain bergotong-royong menyediakan bekalan makanan serta keperluan asas sepanjang misi berlangsung.
Tambahnya, majoriti sukarelawan yang hadir tidak mengenali Jaslinda mahupun ahli keluarganya, namun tetap tampil membantu atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan.
“Semua yang datang hadir atas dasar kemanusiaan dengan jiwa yang ikhlas. Halalkan segala sumbangan yang diberikan bagi memudahkan usaha SAR pada hari-hari berikutnya.
“Amalan baik Jaslinda, doa keluarga, sahabat serta rakyat Malaysia selain laungan azan yang bergema berulang kali di tengah rimba akhirnya diperkenankan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak terus mengekalkan sikap positif dan bersangka baik sesama insan walaupun berdepan pelbagai ujian sepanjang operasi berkenaan.
Semalam, media melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman ditemui selamat selepas seorang penduduk Orang Asli yang sedang memancing menjumpainya berhampiran kawasan Pos Musoh, Tapah sebelum membawanya ke lokasi selamat untuk mendapatkan bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
