BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MARA saring 60 usahawan ke pasaran GCC dengan kerjasama Lulu Hypermarket

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyaring 60 syarikat melibatkan 325 unit penyimpanan stok (SKU) produk bagi menyertai Program Eksplorasi Eksport Lulu Hypermarket.

Menurut MARA, sesi pembentangan produk yang dianjurkan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan bilangan usahawan Bumiputera yang berjaya menembusi pasaran global.

“Program di bawah inisiatif Gate to Global (GTG) MARA melibatkan penyertaan usahawan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Inisiaitf ini sekali gus memperkukuh jenama tempatan di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada peningkatan nilai eksport negara menerusi produk berkualiti tinggi keluaran usahawan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

mara
Panel penilai meneliti kualiti, pembungkusan dan kapasiti pengeluaran produk usahawan yang menyertai sesi saringan Program Eksplorasi Eksport Lulu Hypermarket.

Terdahulu, sesi pembentangan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menghimpunkan usahawan daripada sektor makanan dan minuman (F&B), kesihatan serta barangan pengguna yang berpotensi menembusi pasaran negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Related Articles

Inisiatif berkenaan merupakan susulan kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama strategik antara agensi di bawah kementerian dan Lulu Hypermarket bagi membuka lebih banyak peluang eksport kepada produk keluaran usahawan Bumiputera melalui rangkaian peruncitan tersebut.

“Lulu Hypermarket yang beroperasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Oman, Bahrain, Kuwait dan Eropah dilihat sebagai platform strategik untuk memperluaskan penembusan produk Malaysia, khususnya produk halal yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna di rantau berkenaan,” katanya.

MARA memaklumkan, melalui sesi pemilihan itu, usahawan dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kualiti dan pembungkusan produk, kapasiti pengeluaran serta pematuhan pensijilan industri seperti Halal, HACCP dan GMP.

Penilaian produk dilaksanakan oleh panel yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Mohd Azam Jamaluddin; Pengarah MARA Negeri Wilayah Persekutuan, Syed Saifuddin Syd Ahmad; Pengurus Kanan MATRADE, Haslinda Hassan; Pengurus MATRADE, Nurul Huda Kamarul Baharin; Sourcing Manager Lulu Retail, Lydia Emilia dan Buying Coordinator Lulu Retail, Ainy Ireena.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button