BERITA SEMASA

Tok Arr Beruas nafi dakwaan tampar cucu Tok Guru Nik Aziz, tegaskan ramai saksi ketika kejadian 

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menafikan dakwaan beliau telah menampar seorang pelajar dalam satu program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Arr Beruas menjelaskan bahawa dakwaan yang tular menerusi video di media sosial berhubung insiden tersebut adalah tidak benar dan telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap dirinya.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku selepas beliau selesai menyampaikan syarahan dalam Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 20 Mei lalu.

“Ketika berjalan ke dewan makan, saya telah diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kelantan dan dimaklumkan bahawa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sahabat saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar menjelaskan dalam suasana mesra, beliau hanya bersalaman dan menyentuh pipi pelajar berkenaan sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan baik yang terjalin dengan keluarganya.

“Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa,” tegasnya.

Azhar turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak yang hadir, termasuk pegawai dan pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM serta peserta program.

Beliau melahirkan rasa kesal terhadap penularan rakaman video yang menurutnya tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian sehingga menjejaskan reputasinya.

“Saya menyeru semua pihak agar meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan yang tidak berasas,” katanya.

Dalam masa sama, Azhar menegaskan beliau menyimpan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasinya.

Semalam cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang bekas senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi mendakwa, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di ILMU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button