Skuad kriket wanita negara layak ke Sukan Asia 2026
KUALA LUMPUR – Pasukan kriket wanita Malaysia terus mengharumkan nama negara apabila berjaya mengesahkan tempat ke Sukan Asia Wanita 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen kelayakan yang berlangsung baru-baru ini.
Walaupun tewas kepada Thailand dengan sembilan wiket dalam perlawanan akhir Kelayakan Sukan Asia Wanita 2026, keputusan itu tidak menjejaskan pencapaian skuad negara yang telah pun memastikan tiket ke temasya berprestij tersebut.
Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dalam kenyataannya menyifatkan kempen kali ini sebagai satu pencapaian membanggakan apabila pasukan wanita negara bukan sahaja layak ke Sukan Asia 2026, malah turut mara ke pentas akhir kejohanan kelayakan.
“Meskipun keputusan perlawanan akhir tidak memihak kepada kami, kempen ini tetap menjadi kenangan manis apabila pasukan berjaya mengesahkan tempat ke Sukan Asia 2026 dan melangkah ke perlawanan akhir.
“Tahniah kepada Thailand atas kejayaan muncul juara dan syabas kepada pemain-pemain negara yang telah menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang kejohanan. Sukan Asia, kami datang,” menurut persatuan itu.
Dalam perkembangan sama, ahli jawatankuasa MCA yakin badan induk itu kini berada pada landasan terbaik untuk terus memajukan sukan kriket negara hasil pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang dirancang.
Menurutnya, pencapaian semasa membuktikan usaha yang dilaksanakan oleh pengurusan sedia ada mula membuahkan hasil, termasuk sasaran yang ditetapkan menjelang temasya sukan utama akan datang.
“MCA berada dalam keadaan yang cukup baik untuk terus mencipta kejayaan. Rekod pencapaian pasukan negara termasuk pada Sukan SEA Bangkok 2025 menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya.
Bagaimanapun, pentadbiran jawatankuasa tersebut menyatakan kekhuatiran berhubung dakwaan tindakan segelintir bekas ‘orang kuat’ persatuan yang tidak berpuas hati dalam pemilihan sebelum ini akan menjejaskan perjalanan pentadbiran semasa.
Menurut AJKnya, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menjejaskan pelaksanaan program pembangunan yang sedang dirancang demi masa depan kriket negara.
“Pemilihan telah selesai dan keputusan perlu diterima dengan terbuka. Fokus seharusnya diberikan kepada pembangunan sukan serta kejayaan pasukan negara, bukannya mewujudkan gangguan yang boleh menjejaskan perancangan persatuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








