Pintu untuk Pas sertai Kerajaan Perpaduan masih terbuka – PM Anwar
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pintu untuk parti Pas bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan masih terbuka.
Anwar dalam temubualnya bersama majalah Time Magazine yang diterbitkan semalam, dipetik sebagai berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan parti berkenaan.
“Mengenai sama ada kami bersedia untuk melibatkan diri dengan mereka, sudah pasti kami bersedia, kita mesti dan saya sudah hantar jemputan kepada mereka… Ya, saya terbuka dengan idea itu sejak dari awal lagi.
“Apapun, ini adalah Kerajaan Perpaduan dan kami akan laksanakan apa yang terbaik untuk negara. Namun perlu ada garis pemisah (kerana) Islam adalah agama Persekutuan, tetapi Malaysia adalah negara berbilang agama dan saya mahu setiap rakyat dalam negara daripada semua fahaman untuk tahu mereka ada tempat dalam negara ini,” kata Anwar dalam temubual tersebut.
Ketika ditanya mengenai maklumbalas parti berkenaan, Perdana Menteri berkata, Pas tidak menunjukkan sebarang penolakan terhadap jemputan tersebut, mahupun menerimanya.
“Tidak ada penolakan yang jelas mahupun respons positif. Iklim politik ketika ini masih agak panas, jadi kita biarkan ia sejuk dahulu,” katanya lagi.
Anwar seterusnya berkata, beliau tidak mahu menghalang Pas daripada menyertai Kerajaan Perpaduan, namun, parti tersebut tetap perlu menerima syarat dasar utama yang ditetapkan.