Penukaran status tanah Taman Segar berdasarkan perintah mahkamah bukan libat politik – Pejabat Tanah
KUALA LUMPUR – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) menjelaskan isu tular berkaitan proses penukaran status pegangan hak milik tanah di Taman Segar, Cheras daripada pegangan bertempoh (leasehold) kepada pegangan selama-lamanya (freehold) tidak melibatkan inisiatif politik.
Menurut kenyataan media PPTGWPKL, sebaliknya proses itu dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 19 Disember 2025.
“Mahkamah memutuskan bahawa tindakan mengenakan syarat pajakan semasa proses pembangunan asal pada tahun 1978 adalah bersifat ultra vires atau melampaui kuasa dan tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.
PPTGWPKL menjelaskan keputusan tersebut turut bersandarkan kepada kes terdahulu melibatkan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menentang Sri Lempah Enterprise pada tahun 1978 yang diputuskan oleh DYMM Raja Azlan Shah.
Katanya, mahkamah ketika itu menegaskan pihak berkuasa negeri tidak boleh bertindak melampaui bidang kuasa dengan mengarahkan pemilik tanah melepaskan hak pegangan bebas mereka tanpa asas undang-undang yang kukuh.
Dalam kenyataan sama, PPTGWPKL menegaskan proses penukaran status tanah itu dilakukan atas inisiatif pemilik tanah sendiri melalui saman pemula di mahkamah.
Katanya, setakat 12 Mei lalu, sebanyak 226 hak milik di Taman Segar telah mengemukakan saman bagi tujuan sama dengan pemilik tanah perlu membuktikan rekod sejarah bahawa tanah tersebut asalnya berstatus freehold.
PPTGWPKL turut menafikan sebarang penglibatan secara langsung mana-mana menteri atau ahli politik dalam menentukan kelulusan permohonan berkenaan.
Menurut agensi itu, proses tersebut sepenuhnya melibatkan prosedur perundangan dan teknikal yang tertakluk kepada keputusan badan kehakiman serta pelaksanaan teknikal oleh pihak berkuasa tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara.
PPTGWPKL berkata, pihaknya komited memastikan urusan pentadbiran tanah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh mengelirukan fungsi agensi kerajaan dan badan kehakiman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
