BERITA SEMASAPOLITIK

Keluar PKR hak peribadi Asheeq, jangan calar imej parti – Prabakaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mendakwa tindakan Asheeq Ali Sethi Alivi meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpunca daripada rasa kecewa selepas sebahagian Ahli Jawatankuasa dan akar umbi di Batu didakwa tidak mencadangkan namanya, sebaliknya lebih terbuka menyokong calon lain termasuk calon ‘payung terjun’.

Bagaimanapun, P. Prabakaran menyifatkan keputusan Asheeq meninggalkan PKR sebagai hak peribadi dalam sebuah negara demokrasi.

Beliau menegaskan tindakan itu tidak wajar disertai gambaran seolah-olah parti tersebut telah menyimpang daripada prinsip asal perjuangan reformasi hanya kerana wujud perbezaan pandangan atau rasa tidak puas hati terhadap politik dalaman.

“Jika benar wujud rasa tidak puas hati di peringkat dalaman, sewajarnya perkara itu ditangani secara matang dalam ruang parti, bukannya diterjemahkan melalui serangan terbuka terhadap organisasi yang pernah beliau wakili,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Prabakaran, PKR sehingga kini masih kekal berpegang kepada prinsip keadilan, integriti, reformasi institusi dan pembelaan rakyat.

Katanya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim, perjuangan parti terus bergerak selari dengan semangat asal penubuhannya.

“Dalam sebuah parti demokratik, perbezaan pendapat dan persaingan dalaman adalah perkara biasa.

“Namun kematangan politik menuntut agar setiap isu diselesaikan secara tertib dan berhemah tanpa menyerang parti atau kepimpinan secara terbuka sehingga menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap perjuangan KEADILAN,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu berhak menentukan hala tuju politik masing-masing, namun ia tidak seharusnya disertai kenyataan yang boleh memberi persepsi seolah-olah PKR telah mengkhianati asas perjuangannya.

“Parti ini masih konsisten membawa agenda reformasi dan pembelaan rakyat,” katanya.

Prabakaran turut mendoakan yang terbaik buat Asheeq dalam perjalanan politiknya selepas ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button