BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

KPDN bongkar bilik pameran barangan tiruan berselindung di sebalik kedai tatu

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan penjualan barangan tiruan gred premium yang berselindung di sebalik premis perniagaan lain termasuk kedai tatu dalam serbuan di Jalan Petaling, di sini semalam.

Menerusi Op Putera 8.0, sebanyak 2,700 barangan tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2.3 juta berjaya dirampas dalam operasi membabitkan tujuh premis termasuk tiga bilik pameran persendirian.

Ketua Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, premis berkenaan dijadikan bilik pameran eksklusif bagi menarik pelanggan warga asing yang mahu mendapatkan produk berjenama pada harga lebih rendah.

Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai menjual barangan tiruan pada harga jauh lebih tinggi berbanding kos sebenar produk ciplak tersebut.

“Mereka menyangka memperoleh barangan berjenama pada harga murah, sedangkan produk itu dijual pada kadar berlipat kali ganda daripada kos asal,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau berkata, semakan terhadap resit jualan terminal mesin kad kredit mendapati premis terbabit mampu meraih pendapatan sekitar RM4,000 sehari pada hari biasa dan mencecah RM10,000 pada hujung minggu.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk beg tangan, jam tangan serta aksesori wanita yang dijual pada harga antara RM200 hingga RM5,000 seunit.

Mohd Shahran berkata, hasil risikan mendapati sindiket terbabit turut kerap menukar lokasi stor penyimpanan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa selain mengurangkan risiko kerugian besar sekiranya diserbu.

“Hasil siasatan awal mendapati premis ini dikendalikan warga asing. KPDN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button