Ku Nan nafi tahu urusan pindah milik tanah kolam takungan banjir KL
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di ibu negara ketika beliau memegang portfolio itu.
Menurut beliau, urusan berkaitan tanah ketika itu tidak berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“Apabila saya menjadi menteri, urusan tanah telah dipulangkan semula kepada Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara menjadi pengerusi jawatankuasa berkaitan.
“Saya juga tidak berada dalam lembaga jawatankuasa tanah itu. Jabatan Tanah dan Galian berada di bawah Ketua Setiausaha Negara,” memetik NST online.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang memaklumkan kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu kini menyusut kepada kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 33.5 hektar selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.
Menurut Hannah, pemindahan hak milik itu berlaku sejak tahun 2015.
Tengku Adnan yang memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2013 hingga 2018 turut menegaskan beliau tidak mengetahui identiti pemaju terlibat.
“Saya tidak akan sesekali membenarkan kolam takungan banjir ditimbus untuk pembangunan. Sama sekali tidak.
“Melainkan tanah itu diberikan oleh Jabatan Tanah dan Galian, perkara itu saya tidak tahu. Namun, adakah perkara itu benar-benar berlaku? Tidak adil untuk menuduh Jabatan Tanah dan Galian melakukan kesalahan,” katanya lagi.
Beliau berkata, fungsi kolam takungan banjir sebagai sistem mitigasi banjir di Kuala Lumpur tidak sepatutnya dikompromi.
“Menimbus kolam takungan ini, tasik-tasik ini yang digunakan untuk menyalurkan air sebelum dilepaskan semula ke sungai secara perlahan, saya tidak akan lakukan perkara seperti itu. Ia sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya lagi.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang menggesa kerajaan menjalankan siasatan terhadap proses kelulusan pembangunan bagi menentukan sama ada berlaku sebarang salah laku.
“Pihak yang terlibat termasuk pemaju dan pegawai berkaitan perlu dibawa ke muka pengadilan jika didapati bersalah,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenal pasti kawasan baharu termasuk kolam, taman dan hutan untuk diwartakan sebagai zon simpanan atau kawasan takungan air bagi menggantikan kapasiti yang hilang.
Bekas Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw pula berkata pihak yang menyebabkan banjir di ibu negara perlu membayar pampasan kepada mangsa terjejas.
Presiden Malaysian Corruption Watch, Jais Abdul Karim turut menggesa agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan pelanggaran prosedur dalam isu berkenaan.
Menurutnya, audit bebas dan telus perlu dijalankan terhadap semua pemindahan tanah di sekitar kawasan kolam takungan banjir.
“Pembangunan bandar tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan infrastruktur keselamatan awam yang kritikal.
“Jika kapasiti kolam takungan banjir benar-benar berkurangan secara ketara, rakyat berhak mengetahui bagaimana perkara ini berlaku dan siapa yang meluluskan keputusan tersebut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








