BERITA SEMASA

Hang Tuah Jaya salur RM149,500 perkasa pendidikan

AYER KEROH – Sebanyak RM149,500 diperuntukkan bagi memperkukuh sektor pendidikan akar umbi di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi penganjuran Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang yang berlangsung di Amverton Resort hari ini.

adam adli
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata, seramai 75 pelajar diraikan atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan pada Mac lalu.

adam adli
Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang yang berlangsung di Amverton Resort hari ini.

“Setiap pelajar menerima sumbangan tunai RM300 berserta sijil penghargaan sebagai galakan untuk terus melakar kejayaan di peringkat pengajian tinggi.

“Dalam masa sama, pelajar yang berdaftar di bawah data eKasih turut menerima sumbangan komputer riba daripada Kementerian Komunikasi bagi menyokong keperluan pembelajaran digital mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, sumbangan bagi kategori pelajar cemerlang itu melibatkan peruntukan sebanyak RM22,500.

Adam berkata, bagi memastikan persekitaran sekolah yang lebih kondusif, sebanyak RM127,000 pula disalurkan kepada 34 sekolah di sekitar Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 23 sekolah rendah menerima RM3,000 setiap satu manakala 11 sekolah menengah menerima RM5,000 setiap satu.

“Selain bantuan tahunan, bantuan khas turut disalurkan kepada SRA JAIM Bukit Katil sebanyak RM10,000 bagi perolehan peralatan ICT serta SK Tun Syed Ahmad Shahabudin sebanyak RM15,000 untuk menaik taraf dewan sekolah,” katanya lqgi.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Dr Fahmi Fadzil bagi meninjau serta memastikan kualiti capaian internet di kawasan Ayer Keroh berada pada tahap optimum demi kemudahan penduduk setempat.

Adam turut berkata, pelaburan terbaik untuk masa depan negara bermula dengan penyediaan ekosistem pendidikan yang lengkap dan inklusif.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang tertinggal daripada bantuan prasarana dan tiada pelajar cemerlang yang merasakan usaha mereka tidak dihargai.

“Ini adalah komitmen berterusan kita untuk melahirkan anak Hang Tuah Jaya yang berdaya saing dan celik digital,” katanya lagi.

Majlis turut diisi dengan taklimat Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memberi kesedaran berkaitan keselamatan siber kepada pelajar dan penjaga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button