Rumah dipecah masuk, barang kemas RM800,000 lesap
KUALA LUMPUR – Barang kemas dan jam tangan dianggarkan bernilai RM800,000 dilaporkan hilang selepas sebuah rumah di Taman Melawati dipercayai dipecah masuk malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asistan Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pemilik rumah menyedari kejadian itu selepas pulang ke kediamannya kira-kira jam 11.30 malam sebelum mendapati ruang tamu dan beberapa bilik dalam keadaan berselerak.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati pintu belakang rumah mempunyai kesan umpilan dipercayai digunakan suspek untuk memasuki kediaman terbabit.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang dengan cara mengumpil gril dan pintu rumah sebelum menggeledah beberapa bahagian dalam kediaman.
“Beberapa barang kemas serta jam tangan dipercayai hilang dalam kejadian itu dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM800,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian turut menemukan tiga kesan cap jari yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan rumah berkunci serta meningkatkan ciri keselamatan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











