Keluarga masih berharap Nur Qaseh ditemui selamat selepas dihanyut arus deras
KAJANG – Keluarga kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras semalam masih menaruh harapan mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Bapa saudara mangsa, Afiq Ahmad, 33, berkata, seluruh ahli keluarga kini berada dalam keadaan gelisah sambil menanti sebarang perkembangan daripada pasukan penyelamat.
“Sudah tentu kami sekeluarga dalam keadaan gelisah menantikan sebarang perkembangan.
“Walaupun peluang tipis, kami masih menaruh harapan agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mangsa, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, dilaporkan terjatuh ke dalam longkang ketika mengambil bola berhampiran taman permainan di belakang kediamannya kira-kira pukul 7.09 malam.
Menurut Afiq, kejadian itu disedari selepas bapa mangsa, Mohd Qayyum menerima panggilan daripada dua anak lelakinya yang memaklumkan adik mereka terjatuh ke dalam longkang.
BACA JUGA:
Kanak-kanak perempuan 9 tahun hanyut dalam longkang di Mahkota Cheras
“Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan menjalankan operasi mencari sehingga kira-kira pukul 12 tengah malam, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Kami tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar anak saudara segera ditemui pasukan penyelamat,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, berkata, kawasan padang dan taman permainan di pangsapuri tersebut sememangnya menjadi tumpuan kanak-kanak termasuk anaknya untuk bermain.
“Semalam dia keluar bermain kerana cuti bersama rakan-rakan lain yang juga tinggal di pangsapuri itu.
“Selepas kejadian berlaku, abang mangsa yang juga anak kedua saya naik ke rumah dan memaklumkan kepada saya serta suami,” katanya.
Menurutnya, suaminya kemudian segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.
Nordina turut mengesahkan beberapa barangan yang ditemui di sekitar kawasan pencarian hari ini termasuk selipar dan bola bukan milik anaknya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat kini diperluaskan dengan tumpuan kepada sistem pembetungan bawah tanah di sekitar lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








