BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki maut dalam kebakaran di Taman Ehsan, Kepong

KEPONG – Seorang lelaki berusia 53 tahun ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan lima rumah teres di Taman Ehsan, di sini awal pagi tadi.

Mangsa ditemui di atas katil dalam sebuah bilik tidur pada jam 4.29 pagi selepas operasi memadam kebakaran dijalankan.

Kejadian turut mengakibatkan dua kenderaan jenis Hyundai Getz dan Hyundai XG 250 musnah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 pagi sebelum jentera tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, kebakaran melibatkan lima rumah teres setingkat kelas A dengan keluasan setiap unit 20 x 60 kaki persegi (111.48 meter persegi).

“Sebuah rumah musnah sepenuhnya, manakala empat lagi mengalami kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.

“Seramai 27 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, dengan bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.42 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 7.15 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman sisa kebakaran masih diteruskan, manakala mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button