JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki didenda RM30,000 muat naik kandungan jelik di media sosial

CYBERJAYA – Seorang lelaki didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau di Sabah, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook, 22 Disember tahun lalu.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tertuduh, Mohamad Azri Sahlam, 41, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi (Facebook) secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya.

Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan.

Kata MCMC lagi, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R.

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian awam,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut, hari ini.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button