Beg silang ‘ghaib’ di tempat kerja, gaji RM400 pemuda lesap dicuri
KLANG – Wang gaji berjumlah RM400 milik seorang pemuda berusia 24 tahun lesap apabila beg silang yang disimpan di tempat kerja dilarikan pencuri dalam kejadian di Batu 7, Jalan Meru Tambahan, di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa meletakkan beg berkenaan di atas kotak simpanan peralatan pertukangan sebelum beredar ke bahagian dapur premis terbabit.
Namun, kira-kira 30 minit kemudian, mangsa mendapati beg tersebut sudah tiada sebelum tampil membuat laporan polis pada pukul 6.39 petang hari sama.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asistan Komisioner S Vijaya Rao berkata, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek bertopi keledar dilihat berlegar dalam keadaan mencurigakan di sekitar premis.
“Suspek kemudian bertindak pantas melarikan beg silang tersebut ke arah jalan besar tanpa disedari mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Khellykuzaman Mohd Nasir di talian 017-2863177 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dua rakaman CCTV tular di aplikasi Threads memaparkan aksi suspek memasuki serta meninjau persekitaran premis sebelum bertindak selamba melarikan beg silang berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









