PM umum RM20 juta basmi kemiskinan di Kelantan, RM500,000 baik pulih sekolah terbakar
PASIR PUTEH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di Kelantan, sebagai langkah memperkukuh agenda kebajikan rakyat di negeri itu.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Negeri Kelantan bagi memastikan pelaksanaan program lebih berkesan dan manfaatnya sampai kepada golongan sasar.
Terdahulu, Anwar sempat menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama masyarakat setempat di Pasir Puteh serta beramah mesra, dalam usaha mengimarahkan institusi masjid sebagai medium penyatuan ummah.
“Dalam majlis ramah mesra selepas itu, saya menegaskan bahawa agenda kebajikan rakyat mesti terus dijunjung dan disegerakan, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu sebahagian masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membantu kerja-kerja membaik pulih prasarana Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Bachok yang terjejas akibat kebakaran.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus komited membantu negeri Kelantan dari segenap aspek, demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













