Hijjaz, Inteam, The Rayhan, Qathrunnada bergabung warnai konsert amal SAMTTAJ
KUALA LUMPUR – Pentas nasyid tempatan kian meriah dan berkembang menerusi penganjuran konsert bersifat kebajikan yang menghimpunkan nama-nama besar industri dalam satu acara istimewa, Julai depan.
Empat kumpulan legenda iaitu Hijjaz, Inteam, The Rayhan dan Qathrunnada bakal bergabung dalam SAMTTAJ Charity Hijrah Concert 2026 yang dijadual berlangsung pada 4 Julai ini di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMT Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ).
Konsert berkenaan bukan sahaja mengetengahkan hiburan berunsur kerohanian, malah membawa matlamat mengumpul dana sebanyak RM150,000 bagi pembangunan prasarana sekolah termasuk pembinaan dataran berbumbung untuk kegunaan pelajar.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, gabungan artis nasyid berpengaruh itu diharap mampu mengimbau nostalgia peminat lama di samping menarik minat generasi muda melalui pendekatan lebih segar.
Menurutnya, penganjuran konsert tersebut turut memperlihatkan peranan usahawan dalam menyokong industri nasyid sebagai medium dakwah yang relevan dalam mendepani cabaran semasa.
“Usaha ini ingin membuktikan bahawa nasyid bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi pengisian rohani yang mampu mendidik jiwa. Gabungan artis lama dan baharu ini melambangkan kesinambungan dakwah melalui seni,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Selain persembahan kumpulan utama, acara berkenaan turut menampilkan personaliti seperti Fynn Jamal, Faizal Ismail, Nadzrie Abbas serta persembahan khas oleh Nur Muhammad.
Berbeza dengan konsert berskala besar, penganjur memilih konsep lebih eksklusif dengan kapasiti terhad kepada 800 penonton bagi memastikan suasana lebih intim dan selesa.

Tiket dijual pada harga RM100 bagi semua zon dengan susun atur tempat duduk bebas. Majlis turut diselitkan dengan penyampaian sepuluh anugerah perniagaan sebagai penghargaan kepada komuniti usahawan yang menyokong perkembangan seni Islamik.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SAMTTAJ, Mohamad Mahathir Mohamed Hanan memaklumkan hasil kutipan tiket dan sumbangan korporat akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung kebajikan serta pembangunan fizikal sekolah.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah menaik taraf kemudahan pelajar termasuk pembinaan dataran berbumbung yang amat diperlukan warga sekolah.
“Diharapkan alumni serta ibu bapa dapat memberikan sokongan penuh. Sasaran RM150,000 ini adalah pelaburan untuk keselesaan pelajar dalam menuntut ilmu,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang rasmi sebelum konsert bermula pada pukul 8.30 malam, 4 Julai ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















