JENAYAH & MAHKAMAH

OKU lembam maut dipercayai dipukul, ditinggal di tepi jalan

BACHOK – Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam maut dipercayai dipukul sebelum mayatnya ditemui di tepi jalan di Kampung Padang Lati, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, tengah malam tadi.

Seorang saksi, Mohd Yusof Shafie berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai satu kemalangan oleh rakan sekampung.

“Sebaik tiba, saya lihat mangsa masih bernyawa tetapi dalam keadaan nazak dengan kecederaan parah di kepala dan darah memenuhi wajahnya.

“Kejadian itu agak mencurigakan kerana motosikal mangsa tidak mengalami kerosakan walaupun kecederaannya teruk,” memetik BH online.

Menurutnya, mangsa bukan penduduk kampung berkenaan, namun dikenali oleh beberapa individu kerana tinggal di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button