Inspektor polis disyaki langgar lari anggota trafik direman 4 hari
KUALA LUMPUR – Seorang inspektor polis yang disyaki terlibat dalam kes langgar lari seorang anggota trafik, direman empat hari bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tempoh reman itu dikeluarkan Majistret, Nur Liana Sulaiman selepas permohonan dibuat pukul 10.30 pagi tadi.
“Pada pukul 9 pagi, dua kertas siasatan berkait kes Trafik Kuala Lumpur iaitu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Pejabat Pendakwa Raya Negeri mengarahkan suspek direman di bawah Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak JSPT akan melengkapkan kertas siasatan segera, seterusnya merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang mengidap skizofrenia ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dipetik sebagai berkata, suspek seorang lelaki berusia 40 tahun itu juga sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.
Dalam kejadian pada 10 April lalu, anggota trafik, Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning di Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Mangsa cedera di tapak tangan kanan, belakang kepala serta bahagian rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







