Isu pertanian sentiasa dalam perhatian Kabinet, MTEN – Zahid Hamidi
MASJID TANAH – Isu berkaitan sektor pertanian negara sentiasa diberikan perhatian serius selain menjadi agenda perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan melalui MTEN sentiasa meneliti pelbagai isu serta cabaran yang dihadapi sektor berkenaan bagi memastikan langkah penyelesaian dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, setiap cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan diperhalusi termasuk langkah segera serta pelan jangka sederhana.
“Perkara ini turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu dengan mengambil kira pandangan pemain industri bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang risiko.
“Insya-Allah pengumuman berkaitan perkara ini akan dibuat sendiri oleh KPKM,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka di Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan semua pihak termasuk pembangkang perlu memainkan peranan dengan mengemukakan cadangan konstruktif bagi membantu kerajaan menangani cabaran sektor berkenaan.
“Jika mereka terlalu bijaksana, inilah masa terbaik untuk kita bersama-sama mencari jalan menyelamatkan negara walaupun mereka berada di pihak pembangkang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













