Suspek gangguan seksual di stesen MRT direman hingga 24 April
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China direman sehingga 24 April ini bagi membantu siasatan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di kawasan kaki lima Stesen MRT Kuchai Lama, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistan Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 9.22 malam Khamis lalu.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai ahli terapi kecantikan mendakwa, dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berjalan menuju ke tandas di kawasan stesen berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa sebelum bertindak melakukan perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan pada hari yang sama dan kini direman sehingga 24 April bagi membantu siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, laporan media sebelum ini menyatakan bahawa seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes gangguan seksual di dalam tren berjaya ditahan oleh pasukan Polis Bantuan Prasarana dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat pada 8 April lalu, melibatkan insiden di LRT Laluan Kelana Jaya.
Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa siasatan lanjut pihak berkuasa turut mendapati suspek yang sama dipercayai terlibat dalam satu lagi kes gangguan seksual di Stesen MRT Kuchai Lama di laluan Putrajaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







