BERITA SEMASA

Sultan Pahang berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PEKAP

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) yang berlangsung di World Trade Centre di sini, semalam. 

Keberangkatan paduka baginda diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Penasihat PEKAP dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, majlis tersebut memberi makna besar kepada seluruh warga PEKAP dalam mengeratkan hubungan silaturrahim serta perpaduan rakyat Pahang yang berada di kawasan Lembah Klang.

Pada masa sama, Azman Shah turut
menjunjung kasih atas pengurniaan sumbangan baginda sebanyak RM100,000 untuk tabung pendidikan PEKAP.

“Alhamdulillah sumbangan ini dapat dimanfaatkan untuk Anugerah Pelajar Cemerlang. Insya-Allah pada tahun ini kita doakan semoga tuanku dapat menyumbang lagi kepada tabung pendidikan PEKAP,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

PEKAP
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PEKAP.

Dalam pada itu, katanya, PEKAP juga telah mewujudkan insuran berkelompok dan beberapa orang ahli telah pun menerima faedahnya.

Beliau berkata, insurans itu diwujudkan selepas pihaknya menghadap baginda pada 20 Ogos tahun lalu.

“PEKAP juga bercadang untuk menubuhkan Yayasan Kebajikan Anak Pahang, namun begitu PEKAP perlu terlebih dahulu memohon kebenaran dari Kerajaan Negeri Pahang sebelum Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi kelulusan menggunakan nama Pahang.

“Semoga penubuhan Yayasan Kebajikan Anak Pahang menjadi realiti kebaikan anak-anak Pahang di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu Azman Shah turut merakamkan penghargaan kepada
Kerajaan Negeri Pahang yang banyak membantu dan menyokong program PEKAP.

Katanya, pada tahun lepas sahaja Menteri Besar Pahang telah menyumbang perbelanjaan sepenuhnya sebanyak RM183,000 untuk jamuan Hari Raya Aidilfitri PEKAP.

“Alhamdulillah Menteri Besar Pahang telah pun menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM100,000 untuk perbelanjaan jamuan hari raya pada hari ini.

“Semoga Pahang melimpah ruah rezeki dan bertambah makmur negeri, rakyat jelata tersenyum riang. Semoga PEKAP terus mengekalkan kerjasama dan hubungan yang lebih erat dengan kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu katanya, PEKAP juga dalam perancangan untuk mengadakan majlis sambutan Jubli Intan PEKAP yang telah berusia 60 tahun.

“Semoga mendapat limpah berkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota serta Paduka Anakanda-Anakanda berangkat bercemar duli ke majlis sambutan Jubli Intan ke-60 Tahun PEKAP pada tarikh dan masa setelah mendapat berkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.

“Patik juga sembah maklum Pindaan Perlembagaan PEKAP telah pun diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) setelah 10 tahun PEKAP memperjuangkannya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button