BERITA SEMASA

Tiada kompromi terhadap pengkhianatan di sempadan Bukit Kayu Hitam – Shuhaily

BUKIT KAYU HITAM – Pegawai penguat kuasa di pintu sempadan Malaysia-Thailand diingatkan supaya tidak mengkhianati amanah dengan bersekongkol dalam sebarang kegiatan yang membolehkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan susulan penularan hantaran di media sosial mengenai kehadiran warga India di Changlun, baru-baru ini.

Menurut beliau, kemunculan warga asing tersebut menunjukkan mereka telah berjaya melepasi sempadan negara, namun laluan sebenar kemasukan masih belum dapat dikenal pasti.

“Kalau dilihat di Facebook dalam tempoh seminggu dua ini, mereka berada di Changlun dan itu bermakna sudah melepasi sempadan.

“Namun dari mana mereka masuk, kita masih belum dapat kenal pasti,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga India yang dilihat membawa bagasi besar sebelum menaiki bas di Stesen Bas Changlun.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada pegawai di bawah seliaannya agar tidak sesekali bersekongkol atau terlibat dalam sebarang perbuatan khianat.

BACA JUGA:

AKPS tolak kemasukan 7 individu warga India

“Perkara ini saya jadikan amaran kepada pegawai-pegawai saya supaya jangan sampai saya mendapat tahu ia berpunca daripada perbuatan khianat seperti yang pernah saya tegur sebelum ini di Bukit Kayu Hitam.

“Sekiranya itu berlaku, saya tidak teragak-agak untuk turun lebih kerap bagi mengenal pasti individu yang terlibat,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily memaklumkan AKPS turut memperketatkan kawalan di kawasan sempadan, khususnya dalam menangani aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi susulan konflik di Asia Barat.

Katanya, langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku agensi peneraju bagi perkara berkaitan barangan kawalan.

“Kita akan bersama-sama mengambil peranan dan bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakan penguatkuasaan di kawasan sempadan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis peralihan pucuk pimpinan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam antara Senior Asistan Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dan Asistan Komisioner Fauzi Mohd Yusuf.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes tembakan yang menyasarkan Mohd Nasaruddin pada 25 Februari lalu kini berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button