SPM 2025 catat pencapaian terbaik sejak lima tahun lalu – Fadhlina Sidek
KAJANG – Prestasi terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam tempoh lima tahun membuktikan keberkesanan intervensi yang dilakukan secara berterusan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua peringkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, lebih membanggakan apabila pencapaian memberangsangkan ditonjolkan termasuk kumpulan pertama yang melalui sistem persekolahan tanpa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil pelaksanaan intervensi secara konsisten di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, selain disokong komitmen tinggi guru serta ibu bapa.
“Pengetua turut dipertanggungjawabkan memastikan aspek kehadiran pelajar diberi perhatian sebagai antara faktor penting kejayaan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, di sini, hari ini.
Dalam pengumuman keputusan SPM hari ini, Gred Purata Kebangsaan (GPK) calon tahun 2025 menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 4.42 mata berbanding 4.49 mata dengan penambahbaikan sebanyak 0.07 mata.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan KPM akan terus memberi sokongan kepada murid yang berdepan kekangan ekonomi, termasuk bantuan ke sekolah dan sokongan akademik berterusan.
Tambah beliau, usaha merapatkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar turut dipergiat melalui pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf sekolah daif, kerja penyelenggaraan serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








