BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

8 lelaki didakwa terlibat kes merusuh, halang tugas polis direman 3 hari

GEORGE TOWN – Lapan lelaki yang didakwa terlibat dalam insiden perselisihan faham dengan anggota polis di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai di sini semalam, direman selama tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 38 tahun dan merupakan warga tempatan.

“Pihak polis menerima panggilan pada pukul 9.50 malam yang meminta bantuan di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati berlaku perselisihan faham antara beberapa orang awam dengan anggota polis di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejadian bermula apabila empat anggota polis mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah pangsapuri berkenaan sebelum berlaku perselisihan faham dengan orang awam di kawasan tersebut.

“Akibat kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis yang bertugas mengalami kecederaan ringan susulan pergelutan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan video kejadian atau membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button