BERITA SEMASA

Pemilik kenderaan tular isi RON95 guna tong plastik berdepan denda hingga RM1 juta, penjara – KPDN

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengambil tindakan susulan berhubung satu aduan tular di media sosial melibatkan sebuah kenderaan yang dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti besar di sebuah stesen minyak sekitar Skudai baru-baru ini.

Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan segera ke atas premis berkenaan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod transaksi serta resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95 dilakukan, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan, manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik yang diletakkan di bahagian but kenderaan.

“Kuantiti pengisian tersebut dipercayai melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Sehubungan itu, pasukan penguat kuasa KPDN telah turun padang bagi menjalankan siasatan lanjut serta memberi peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak agar mematuhi peraturan sedia ada dan memperketat pemantauan bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya.

Sementara itu katanya, KPDN Johor turut memaklumkan bahawa tindakan kes telah diambil di bawah peruntukan Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan.

Dalam masa sama katanya, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan melalui saluran rasmi yang disediakan oleh KPDN termasuk aplikasi Ez ADU, talian hotline serta portal e-aduan.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button