Isu ziarah beramai-ramai cetus perdebatan, netizen tegur etika beraya
KUALA LUMPUR – Amalan berkunjung ke rumah sanak saudara secara beramai-ramai mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, apabila ada yang menyifatkannya sebagai membebankan tuan rumah dan kurang beradab.
Perkara itu dibangkitkan oleh seorang pengguna media sosial, @dnish.hnsm menerusi platform Threads yang menegur sikap segelintir pihak datang beraya secara berkumpulan besar, sehingga melibatkan tujuh hingga lapan buah kenderaan dalam satu masa.
Menurutnya, situasi tersebut boleh menyusahkan tuan rumah dari segi penyediaan makanan serta ruang, apatah lagi jika kehadiran tidak dimaklumkan terlebih dahulu.
Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang menghubungi tuan rumah sebelum berkunjung semata-mata untuk bertanya juadah yang disediakan, dengan alasan lapar, yang disifatkan sebagai tidak beradab.
“Tolong jangan normalisasikan budaya datang rumah orang beraya sampai 7-8 kereta sekali gus.
“Kesian tuan rumah. Kemudian sebelum datang boleh call tanya masak apa sebab lapar. Sangat biadab,” tulisnya.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna lain.
Ada yang bersetuju bahawa adab ketika beraya perlu dijaga, termasuk memberi notis awal sebelum berkunjung bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah.
Namun, terdapat juga pandangan berbeza yang menganggap amalan ziarah secara berkumpulan sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu dan tidak wajar dipersoalkan.
“Benda yang memang normal dari zaman dahulu lagi,” kata seorang pengguna lain dalam ruangan komen.
Perbincangan itu memperlihatkan pertembungan pandangan antara keperluan menjaga adab serta keselesaan tuan rumah dengan tradisi ziarah yang telah lama diamalkan dalam masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








