BERITA SEMASA

Agong seru rakyat pelihara perpaduan, amalkan adab sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara perpaduan, mengamalkan adab serta menolak sebarang unsur yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

Baginda bertitah bahawa sebarang anasir yang mengancam keharmonian rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi, bukan sahaja melalui tindakan undang-undang, tetapi juga melalui pembudayaan adab dalam kehidupan seharian.

“Saya ingin mengulangi nasihat yang diberikan dalam perutusan hari raya tahun lalu, tetapi nampaknya ramai yang lupa atau buat tidak endah.

“Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa Lima Prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.

“Di manakah kekurangannya kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini sehingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” titah baginda menerusi Perutusan Aidilfitri 2026 Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Baginda turut menyentuh beberapa insiden melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian.

“Masih segar lagi tentang stoking tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, ada pula pijak al-Quran dan kedengaran juga golongan kurang ajar di masjid, serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan dan perpecahan.

“Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu menolak sikap tidak beradab dan memastikan suara majoriti yang berakhlak baik mengatasi golongan yang mencetuskan kebencian dan perpecahan.

Dalam masa sama, baginda turut mengingatkan pihak berkuasa agar menguruskan isu-isu sensitif dengan penuh berhemah, telus dan tegas bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara terus terpelihara.

“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara.

“Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menyeru rakyat supaya mensyukuri nikmat keamanan negara, terutama ketika terdapat negara lain yang berdepan konflik dan peperangan.

“Bersatu teguh, bercerai roboh,” titah
baginda, mengingatkan kepentingan perpaduan dalam mengekalkan kestabilan negara.

Dalam perutusan sama, baginda turut mengajak umat Islam agar terus berdoa untuk kesejahteraan saudara seagama di seluruh dunia yang ditindas, serta tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

Baginda turut menzahirkan harapan agar segala amalan sepanjang Ramadan dapat membentuk umat Islam yang lebih istiqamah dan taat kepada Allah SWT.

Mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mendoakan agar seluruh rakyat dan negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan.

Baginda juga menasihati rakyat agar berhati-hati di jalan raya serta mengamalkan pemakanan secara sederhana sepanjang sambutan perayaan.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah Baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button