Pelakon legenda Hollywood Chuck Norris meninggal dunia pada usia 86 tahun
WASHINGTON – Pelakon aksi dan pakar bela diri terkenal Hollywood, Chuck Norris disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Khabar duka itu diumumkan oleh ahli keluarganya menerusi satu kenyataan di Instagram dengan penuh rasa pilu.
“Beliau menjalani kehidupan dengan penuh kepercayaan, tujuan yang jelas serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap insan yang disayanginya,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut keluarga, mendiang bukan sahaja dikenali sebagai seorang bintang aksi dan simbol kekuatan di mata dunia, malah seorang suami, bapa, datuk dan ahli keluarga yang sangat penyayang.
Dilahirkan sebagai Carlos Ray Norris di Oklahoma pada tahun 1940, Norris menyertai Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) ketika usia remaja.

Minatnya dalam seni bela diri mula berkembang ketika ditempatkan di Korea Selatan, sebelum beliau berjaya meraih tali pinggang hitam serta memenangi beberapa kejuaraan karate pada era 1960-an.
Nama beliau mula melonjak selepas membintangi filem Way of the Dragon bersama legenda seni bela diri, Bruce Lee pada tahun 1972.
Dalam satu sesi soal jawab terdahulu, Norris pernah berkongsi perbualannya dengan Bruce Lee mengenai babak pertarungan mereka, yang kini menjadi antara adegan paling ikonik dalam sejarah filem seni bela diri.
Sepanjang kerjayanya, Norris membintangi pelbagai filem aksi popular seperti Missing in Action, Delta Force dan Code of Silence pada era 1980-an.
Beliau juga dikenali menerusi watak Cordell Walker dalam siri televisyen popular Walker, Texas Ranger yang disiarkan dari 1993 hingga 2001, sekali gus memperkukuhkan lagi statusnya sebagai ikon aksi.
Kemunculan terakhirnya di layar perak adalah menerusi filem The Expendables 2 pada tahun 2012.
Di luar dunia lakonan, Chuck Norris aktif mempromosikan gaya hidup sihat serta menubuhkan sekolah seni bela diri.
Dalam era moden, namanya turut menjadi fenomena internet menerusi ‘Chuck Norris facts’ iaitu jenaka viral yang menggambarkan kekuatan luar biasa beliau secara berlebihan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








