Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero diiktiraf pemain tempatan, bukan naturalisasi – MFL
KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza, susulan kontroversi melibatkan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Penjelasan itu dikeluarkan MFL selepas sekumpulan penyokong bola sepak tanah air mengadakan bantahan aman di hadapan pejabat badan pengelola di Kelana Jaya, semalam, menuntut penjelasan berhubung status pemain berkenaan.
MFL menjelaskan, pendaftaran Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel (JDT) dan Gabriel Palmero (Kuching City FC) dibuat mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Keempat-empat pemain itu diiktiraf sebagai pemain tempatan dan bukannya pemain naturalisasi,” kata MFL dalam kenyataan hari ini.
Menurut MFL lagi, proses pengesahan dan pendaftaran pemain naturalisasi di Liga M ditetapkan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, termasuk keperluan mengemukakan salinan kad pengenalan berwarna atau pasport berwarna.
“Pendaftaran pemain tempatan boleh dilakukan terus mengikut tempoh pendaftaran ditetapkan: Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan JDT pada tempoh pertama pendaftaran 9 Jun hingga 31 Ogos 2025, manakala Palmero didaftarkan Kuching City FC pada tempoh kedua 5 Januari hingga 1 Februari 2026 selepas dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Keputusan MFL itu turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor John pada 13 Mac lalu, yang menjelaskan tiada isu terhadap keputusan tersebut kerana ia mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia,” tambah MFL.
Dalam pada itu, MFL juga mengambil maklum demonstrasi yang diadakan penyokong, namun menekankan bahawa sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta imej negara adalah tidak wajar.
“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL komited memastikan semua keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
“Kami menggesa semua pihak menyalurkan sebarang pandangan melalui saluran betul demi keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” kata MFL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








