BERITA SEMASA

Semua rakyat Malaysia di Asia Barat selamat – Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia yang telah dihubungi oleh perwakilan diplomatik negara di rantau Asia Barat disahkan berada dalam keadaan selamat walaupun situasi keselamatan di beberapa kawasan dilaporkan tidak menentu ketika ini.

Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) berkata, rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat bersama United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), turut dilaporkan selamat meskipun negara itu berdepan perkembangan keselamatan semasa.

“Rakyat Malaysia yang berada di rantau berkenaan diseru supaya sentiasa berwaspada serta kekal berhubung dengan perwakilan diplomatik Malaysia terdekat sekiranya memerlukan bantuan konsular.

“Nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac lalu supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan tidak penting ke negara yang terjejas akibat konflik semasa masih berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wisma Putra memaklumkan laporan terkini daripada perwakilan diplomatik Malaysia menunjukkan tiada lagi rakyat Malaysia yang terkandas melalui laluan udara di Bahrain, Iraq, Lubnan, Oman, Qatar atau Arab Saudi.

Menurut kementerian itu, di Jordan dan Syria, baki rakyat Malaysia dilaporkan telah berlepas dari Amman menuju ke Kuala Lumpur sekitar jam 3.40 pagi waktu tempatan pada 16 Mac.

Sementara itu, di Emiriah Arab Bersatu hanya beberapa rakyat Malaysia masih berada dalam senarai terkandas, namun kebanyakannya telah memperoleh tiket penerbangan pulang yang disahkan dan dijangka berlepas menerusi penerbangan komersial dalam masa terdekat.

Di Kuwait pula, dua rakyat Malaysia masih berada di negara itu dengan seorang daripadanya telah mendapatkan tiket pulang yang dijadual berlepas pada 31 Mac melalui Madinah.

“Seorang lagi sedang meneliti pilihan perjalanan yang tersedia dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Kuwait,” katanya lagi.

Tambah Wisma Putra, pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara terus memantau perkembangan semasa dengan rapi serta bekerjasama dengan perwakilan diplomatik, kerajaan tuan rumah dan syarikat penerbangan bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia di rantau berkenaan sentiasa terpelihara.

Walaupun keadaan keselamatan di beberapa bahagian rantau tersebut masih tidak stabil dengan laporan aktiviti ketenteraan dalam tempoh 48 jam lalu, laluan penerbangan komersial antara Malaysia dan beberapa negara Asia Barat masih beroperasi seperti biasa.

Wisma Putra turut berkata, kebanyakan kes rakyat Malaysia yang terkandas di rantau itu kini telah berjaya diselesaikan susulan pembukaan semula operasi penerbangan komersial serta penyelarasan berterusan oleh perwakilan diplomatik Malaysia.

Dalam pada itu, semua perwakilan diplomatik Malaysia di Asia Barat terus beroperasi dan menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia termasuk melakukan pemeriksaan kebajikan serta mengekalkan komunikasi dengan rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terjejas.

“Susulan beberapa insiden terpencil melibatkan serpihan objek yang jatuh di beberapa kawasan Teluk termasuk di Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, perwakilan diplomatik Malaysia telah menghubungi rakyat Malaysia di kawasan terlibat dan mengesahkan mereka berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button