Penarafan keselamatan Proton X90 baharu diturunkan kepada satu bintang
KUALA LUMPUR – Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara Asia Tenggara, ASEAN NCAP mengumumkan penarafan keselamatan bagi model terkini Proton X90 MC diturunkan kepada satu bintang, berbanding lima bintang yang diperoleh ketika model itu dilancarkan pada Mei 2023.
Menurut ASEAN NCAP, penurunan penarafan tersebut berpunca daripada ketiadaan beberapa sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) penting pada model yang dikemas kini itu.
Sebelum ini, Proton X90 dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik (AEB), amaran perlanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA), amaran trafik lintasan belakang (RCTA) serta sistem pemantauan titik buta.
Namun, kemas kini model (MC) menyaksikan semua ciri tersebut dikeluarkan sepenuhnya dengan ketiga-tiga varian yang ditawarkan kini tidak lagi dilengkapi sebarang sistem ADAS.
ASEAN NCAP menjelaskan, di bawah protokol penilaian 2021–2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan sekiranya prestasi dalam mana-mana kategori keselamatan adalah rendah bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pengguna.
“Penyingkiran teknologi ini menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) menurun kepada tahap empat bintang, manakala kategori keselamatan penunggang motosikal (MS) yang banyak bergantung kepada sistem pengesanan titik buta merosot kepada satu bintang.
“Akibatnya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan kepada satu bintang,” menurut kenyataan badan penilaian tersebut.
Model Proton X90 MC 2026 turut ditawarkan pada harga lebih rendah, iaitu antara RM99,800 hingga RM115,800 atas jalan tanpa insurans, dengan pengurangan harga mencecah kira-kira RM30,000 berbanding model sebelumnya.
Walaupun reka bentuk luaran kekal hampir sama, model baharu itu menggunakan enjin empat silinder turbo yang menggantikan enjin tiga silinder sebelum ini bersama sistem hibrid ringan 48 volt.
Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Siti Zaharah Ishak berkata, pihaknya kesal dengan keputusan pengeluar itu yang menggugurkan teknologi ADAS yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
“Kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan lima bintang yang diberikan pada tahun 2023 bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi demi ciri kemewahan semata-mata seperti sistem hiburan atau kemasan dalaman kulit.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pengurangan ciri keselamatan melibatkan model keluaran Proton. Pada 2017, syarikat itu pernah menggugurkan beg udara sisi daripada model Proton Exora dan ciri tersebut tidak lagi ditawarkan sehingga kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dihentikan pengeluarannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











