BERITA SEMASA

Tanah runtuh Sandakan: Tiga blok bangunan termasuk hotel diisytihar kawasan bencana

SANDAKAN – Kawasan tanah runtuh yang meragut nyawa seorang pekerja hotel di pusat bandar, di sini hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan ditutup sementara selepas pihak berkuasa mengesan pergerakan tanah yang masih berisiko menyebabkan runtuhan.

Ia melibatkan tiga blok bangunan termasuk sebuah hotel tiga tingkat yang ditutup sementara oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi memastikan keselamatan penduduk serta membolehkan kajian terperinci terhadap kestabilan cerun dijalankan.

Presiden MPS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson berkata, keputusan mengisytiharkan kawasan itu sebagai kawasan bencana dibuat selepas pemerhatian awal mendapati cerun di belakang bangunan masih tidak stabil.

“Buat masa ini, kawasan itu kita tutup dan isytiharkan sebagai kawasan bencana kerana masih berlaku pergerakan tanah di belakang blok bangunan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Menurut beliau, kejadian runtuhan tersebut turut melibatkan sebatang pokok dianggarkan berusia kira-kira 30 tahun yang menghempap bangunan berkenaan.

Insiden itu menjejaskan sebanyak 32 unit premis yang terdiri daripada kedai dan rumah di kawasan berkenaan.

Walter berkata, kebanyakan bangunan lama di pusat bandar Sandakan dibina sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an dan terletak di kawasan lereng bukit, sekali gus meningkatkan risiko pergerakan tanah terutama ketika hujan berterusan.

“Insiden seperti ini jarang berlaku, namun sejak kebelakangan ini beberapa kes pergerakan tanah dilaporkan,” katanya memetik laporan Metro Online.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Jurutera MPS untuk bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mendapatkan khidmat jurutera perunding pakar bagi menjalankan kajian menyeluruh terhadap tahap keselamatan cerun di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, seramai 25 keluarga yang terjejas kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Sandakan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pemantauan berterusan dilakukan kerana hujan masih berterusan dan boleh meningkatkan risiko pergerakan tanah.

“Setakat ini sekurang-kurangnya empat kawasan di sekitar bandar dikenal pasti berisiko berlaku pergerakan tanah,” katanya.

Beliau berkata, langkah segera juga akan diambil untuk menutup kawasan cerun yang terdedah bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi tadi, seorang pekerja hotel dilaporkan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika cuba menghidupkan set janakuasa di bahagian belakang hotel berkenaan selepas bekalan elektrik terputus.

Selain itu, kejadian tanah runtuh turut menjejaskan kawasan berhampiran apabila kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Sim-Sim dilaporkan rosak akibat pergerakan tanah susulan hujan berterusan sejak semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button