KPDN rampas 1,326kg minyak masak paket disimpan tanpa lesen
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,326 kilogram minyak masak paket dipercayai disimpan bagi tujuan urus niaga tanpa lesen sah dirampas dalam serbuan di sebuah rumah berhampiran Putrajaya, kelmarin.
Serbuan menerusi Ops Gerak Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut menumpaskan sindiket penyimpanan minyak masak bersubsidi yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 78 kotak minyak masak paket ditemui di premis berkenaan dengan setiap kotak mengandungi 17 paket bersaiz satu kilogram (kg).
“Jumlah keseluruhan minyak masak yang disimpan di premis itu dianggarkan sebanyak 1,326 kilogram.
“Ketika serbuan dijalankan, pasukan KPDN mendapati premis berkenaan tidak berpagar dan tiada individu berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : KPDN tegas banteras penyelewengan minyak masak bersubsidi
Menurut beliau, semua minyak masak paket terbabit dipercayai disimpan dengan niat untuk menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran pengawal bekalan.
“Keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM5,569.20. Pemeriksaan lanjut dijalankan di sekitar premis sebelum pasukan penguat kuasa membuat semakan terhadap kenderaan yang berada di laman rumah berkenaan,” katanya.
Azman berkata, hasil semakan itu, seorang lelaki tempatan kemudian hadir ke lokasi dan mengaku sebagai anak kepada pemilik rumah tersebut.
Katanya, lelaki terbabit kemudian ditahan dan diambil rakaman percakapan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kenyataan pemeriksaan premis serta akuan sitaan juga telah dikeluarkan kepadanya untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat menjalankan urus niaga tanpa lesen sah daripada pengawal bekalan,” katanya.
Tambah beliau, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta menyebabkan ketirisan subsidi.
Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, laman sesawang [http://eaduan.kpdn.gov.my](http://eaduan.kpdn.gov.my) atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















