BERITA SEMASAPMX

Kerajaan lancar Prismanita, umum insentif cukai lindungi suri rumah

KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (Prismanita) bagi memperkukuh sistem sokongan kepada wanita, khususnya dalam menangani isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita itu diwujudkan bagi memudahkan wanita mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan bantuan secara lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa.

Menurut beliau, pelaksanaan Prismanita bukan hanya terhad kepada penyediaan perkhidmatan di bawah KPWKM semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerjasama semua kementerian dan agensi kerajaan.

“Inisiatif ini tidak akan dibiarkan bergerak secara silo. Dalam kerangka Kerajaan MADANI, program dan acara di bawah KPWKM mesti didukung sepenuhnya oleh semua kementerian serta jabatan berkaitan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA26) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat yang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih).

Menerusi mekanisme baharu itu, Yayasan Kebajikan Negara akan bertindak sebagai badan perantara kepada syarikat atau mana-mana pihak yang ingin menaja caruman skim berkenaan, sekali gus melayakkan penyumbang menikmati pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang memberi penekanan kepada usaha memperkasa wanita dalam pelbagai aspek.

“Tumpuan dasar ini termasuk memperluas peluang ekonomi kepada wanita, memperkukuh perlindungan sosial serta mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan inklusif terhadap keperluan wanita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button